Jan 2, 2009

Solat Jamak Qasar Berterusan

Asalamualaikum!

Soalan dari kawan saya yang dihantar ke Brunei oleh majikannya untuk
menyiapkan projek IT dan tidak ada tarikh yang tetap bila beliau akan
pulang ke Malaysia. Projek tersebut mungkin akan memakan masa
berbulan-bulan. Beliau bertanya bolehkah beliau berterusan solat jamak
qasar selama di Brunei?

Sekian didahului dengan ucapan terimakasih.

Tokbatin

***********
jawapan:

akob:

Wa'alaikumussalaam Warahmatullah

Dalam situasi ini terdapat beberapa pendapat.

1) Sekiranya dia bermusafir tetapi kemudian bermukim di satu tempat
lebih dari tiga hari maka di tidak lagi dianggap sebagi musafir. Maka
dia menyempurnakan sembahyangnya pada hari yang ke empat.

2) Sekiranya dia bermusafir kemudian dia bermukim di satu tempat tanpa
mengetahui bila dia akan pulang ke tempat asalnya maka dia dibenarkan
mengqasharkan sembahyangnya selama tugasnya belum selesai.Apabila
tugas sudah selesai maka hendaklah dia menyempurnakan sembahyangnya.
Tetapi sekiranya dia bermukim di satu tempat lebih dari empat hari
dengan satu tempoh yang telah diketahui maka dia tidak lagi dianggap
musafir.

3) Seorang musafir boleh mengqasharkan sembahyangnya selagi dia belum
pulang ketempat asalnya asalkan dia tidak berniat untuk bermukim di
mana-mana tempat. Akob lebih cenderung dengan pendapat ini.


Nabi Muhammad Shallahu 'alaihi wasallam juga tidak membatasi jumlah
hari yang tertentu yang dibenarkan mengqashar sembahyang. Malah
kewujudan hadis-hadis dengan jumlah hari yang berbeza tersebut
menunjukkan tidak ada batasan jumlah hari yang tertentu dalam hal ini.
Perbezaan jumlah hari tersebut hanyalah menunjukkan keragaman corak
musafir Rasulullah Shallahu 'alaihi wasallam. Mari kita sama-sama
melihat hadis-hadis tersebut.

Dari Jabir bin Abdillah, dia berkata: "Rasulullah Shallahu 'alaihi
wasallam bermukim di Tabuk selama dua puluh hari (dan baginda)
mengqahsarkan sembahyang." (Hadis riwayat Imam Abu Dawud dalam Sunan
Abu Dawud, Kitab al-Shalah, hadis no. 1046 dan Imam Ahmad, hadis no.
13625.)

Dari Imran bin Hussain, dia berkata: "Aku berperang bersama Rasulullah
Shallahu 'alaihi wasallam pada saat penaklukan kota makkah, maka
baginda bermukim di Makkah selama lapan belas malam dan tidak
sembahyang kecuali sebanyak dua rakaat (qashar)." (Hadis riwayat Imam
Abu Dawud dalam Sunan Abu Dawud, Kitab al-Shalah, hadis no. 1040.)

Yahya bin Abi Ishak berkata: "Saya mendengar Anas bin Malik berkata:
"Kami pernah musafir bersama Rasulullah Shallahu 'alaihi wasallam dari
Madinah ke Mekah. Selama dalam musafir itu baginda melakukan
sembahyang secara dua rakaat (qasar kecuali maghrib) sehingga kembali
ke Madinah. Orang bertanya: "Apakah kalian sempat menginap di kota
Makkah?" Anas menjawab: "Kami menginap di Kota Makkah selama sepuluh
hari." (Hadis riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahih al-Bukhari, Kitab
al-Jamaah, hadis no. 1081.)

Jelas hadis-hadis di atas Rasulullah Shallahu 'alaihi wasallam tidak
membatasi tempoh hari yang tertentu yang dibenarkan mengqashar
sembahyang. Malah Sayyid Sabiq Rahimahullah telah membawa beberapa
athar dari para sahabat yang menunjukkan mereka tetap mengqasharkan
sembahyang walaupun mereka singgah di satu daerah dalam jangka masa
yang lama.

Miswar bin Makhramah berkata: "Kami bermukim dengan Sa'ad di salah
satu desa di wilyah Syam selama empat puluh hari. Selama itu Sa'ad
tetap mengqasharkan tetapi kami mencukupkan." Barkata Nafi': "Abdullah
bin 'Umar bermukim di Azrebaijan enam bulan dan tetap bersembahyang
dua rakaat ketika tertahan oleh salji waktu memasukinya." Hafash bin
Ubaidullah mengatakan bahawa Anas bin Malik bermukim di Syam dua tahun
dan terus bersembahyang sebagai musafir. Dan menurut Anas, para
sahabat Nabi Shallahu 'alaihi wasallam bermukim di Ramhurmuz selama
tujuh bulan dan tetap mengqasharkan sembahyang, sedang menurut Hassan,
dia bermukim dengan Abdurrahman bin Samurah di Kabul selama dua tahun
dan Abdurrahaman terus mengqasharkan tapi tidak menjama'. Kemudian
Ibrahim mengatakan pula bahawa para sahabat pernah bermukim di Rai
selama setahun atau lebih, dan di Sijistan selama dua tahun (dan
mereka tetap mengqasharkan sembahyang.)(Sayid Sabiq, Fikih Sunnah,
Jilid 1, ms. 218-219.)

Seterusnya kita akan melihat ulasan Sayyid Sabiq Rahimahullah
berkaitan dengan tempoh perjalanan yang dibolehkan mengqasharkan
sembahyang:

Seorang musafir itu boleh terus mengqashar sembahyangnya selama dia
masih dalam musafir. Jika dia bermukim di suatu tempat kerana sesuatu
keperluan yang hendak diselesaikannya maka dia tetap boleh
mengqasharkan sembahyangnya sebab dia masih dianggap sebagi musafir
walaupun bermukimnya di sana sampai bertahun-tahun lamanya. Adapun
kalau dia bermaksud hendak bermukim di sana dalam waktu yang tertentu
(yang telah diketahui pada awal musafirnya-pen) maka menurut pendapat
yang terkuat yang dipilih oleh Imam Ibnu Qayyim Rahimahullah,
bermukimnya itu belum lagi menghilangkan hukum musafir, baik lama atau
sebentar, selama dia tidak berniat hendak menjadi penduduk tetap di
tempat itu. (Sayyid Sabiq, Fikih Sunnah, Jilid 2, ms. 217.)

Setelah membawa pelbagai pendapat yang membatasi jumlah hari tertentu
yang dibolehkan mengqasharkan sembahyang, Imam Muhammad Ismail
al-Shan'ani dalam kitabnya Subulus Salam (Jilid 2, ms. 169) telah
menulis:

Sudah jelas tidak ada dalil yang menunjukkan Nabi Shallahu 'alaihi
wasallam tidak mengqasharkan sembahyang selama masa safar telah
melebihi dari waktu-waktu yang disebutkan di atas. Apabila tidak ada
dalil yang menunjukkan penetuan batas waktu, maka pendapat yang lebih
mendekati kebenaran ialah boleh sentiasa mengqasharkan sembahyang
selama dalam perjalanan itu sebagaimana yang pernah dipraktikkan oleh
para sahabat - kerana memang tidak dinamai mukim dalam keadaan
ragu-ragu setiap hari dan juga tidak dinamai mukim bagi orang yang
singah di satu tempat meskipun lama.

Pendapat ini dikuatkan lagi dengan apa yang kita dapati dari Sebuah
riwayat dari Abdullah ibnu Umar Radhiallahu 'anhuma , dia berkata:

Adalah Rasulullah Shallahu 'alaihi wasallam ketika keluar dari kota
Madinah, baginda tidak menambah rakaat sembahyang-sembahyangnya
melebihi 2 rakaat (kecuali maghrib) sehinggalah baginda kembali ke
kota Madinah (Hadis Riwayat Imam Ibnu Majah dalam Sunan Ibnu Majah,
Kitab Iqamah al-Shalah wa al-Sunnah Fiihaa, hadis no. 1067.)


Tentang bab Jama', maka sembahyang mengikut waktu lebih disyorkan.
Kerana menurut Syaikh al-'Utasimin Rahimahullah, Sembahyang boleh
dijama' ketika dalam perjalanan tetapi jika telah sampai ke tempat
tujuan maka lebih baik sembahyang mengikut waktu. Tapi harus diingat
Jama' bukan hanya disyaratkan bagi musafir. Sekiranya terdapat
kesulitan yang mendesak maka dia boleh mengjama'kan sembahyangnya
walupun tidak berada dalam perjalanan.

Jadi untuk rakan anda berada di Brunei dia boleh mengqasharkan
sembahyangnya sehingga kemabli ke Malaysia dan lebih disyorkan untuk
tidak mejama'kan sembahyangnya kecuali jika ada kesulitan yang
mendesak.

Saranan saya rukhshah (keringanan) yang Allah berikan ini merupakan
satu anugerah atau hadiah dari-Nya. Maka kita ambillah hadiah dari-Nya
ini. Antara manhaj Rasulullah Shallahu 'alaihi wasallam dalam membuat
pilihan ketika memberi pandangan adalah sebagaimana yang dikhabarkan
oleh Umm al-Mukminun 'Aishah radhiallahu 'anha:

Tidaklah Rasulullah Shallahu 'alaihi wasallam jika diberi dua pilihan
kecuali baginda memilih yang paling mudah diantaranya selagi tidak
mengandungi dosa. (Hadis Riwayat Imam al-Bukhari dalam Sahih
al-Bukhari, Kitab al-Hudud, hadis no. 6786.)

Semoga kemudahan yang Allah Subhanahu wa Ta'ala anugerahkan kepada
kita semua akan menjadi pilihan kita kerana mustahil apa yang
datangnya dari Allah dan Rasul-Nya serta menjadi amalan para sahabat
Nabi Radhiallahu 'anhum akan mengandungi dosa. Sesungguhnya Allah
Subhanahu wa Ta'ala hanya meninginkan kemudahan kepada hamba-hamba-Nya
dan tidak memberati kita semua.

WAllahu'alam

9 comments:

Anonymous said...

assalamualaikum,,

persoalan saya mungkin telah terjawab di atas ,tapi saya masih perlu penjelasan dalam kes saya sebagai pekerja yang di hantar untuk kursus contohnya diketahui selamat 10 hari di KL dari utara misalnya. Berapa lama saya boleh jama,qasar. berapa lama di bolehkan jama saja,, atau berapa lama di bolehkan qasar saja. mohon penjelasan ustaz dalam kes saya ini.
Terima kasih

Arizan Mokhtar said...
This comment has been removed by the author.
konfius... said...

assalamualaikum…

# mengikut fahaman saye solat jama’ n qasar hanye boleh dilakukan bg…
1) tempoh musafir 3 hari tidak termasuk hari bertolak dan hari kembali
2) jumlah hari musafir yang tidak diketahuin bila tarikh kembalinya

maka jika tempoh musafir sudah ditetapkan 6hari maka hanye blh jama’ dan qasar pada hari
bertolak sahaja,bagaimana dengan hari kembali…

betulkah pemahaman saye di atas…

# jika saya ke destinasi A dengan tempoh waktu yang diketahui iaitu 6 hari termasuk hari pergi dan balik, maka saya hanya blh jama’dan qasar pada hr bertolak shj, dan sembahyang biasa pada hari2 berikutnya…

tetapi jika dalam tempoh 6 hari itu, pada hari yang ke tiga saya membuat perjalanan yang melebihi 2 marhalah dan kembali ke tempat A pada hari yg sama, adakah sy blh melakukan jama’ dan qasar sepanjang perjalanan sy pada hari ke tiga itu dan bolehkah sy melakukan jama’ dan qasar selama 6 hari berdasarkan keadaan in…

Terima kasih.

sab said...

SAlam,saya bekerja di kuala pilah dan menetap di Cheras.Jarak antara 2 tempat ni melebihi 92km.Bolehkah sy melakukan solat jamak takdim & qasar krn sy bertolak pulang dr tempat kerja blm masuk asar & kdg2 sy tiba dirumah sudah hampir waktu maghrib?

Admin said...

w'salam

jarak ulang alik lebih 92km boleh dan layak qasar atau jamak solat... WA

Anonymous said...

Assalamualaikum,

Saya bertugas di laut(Turkmenistan) dan berasal dari Malaysia.Saya juga tak tahu bila akan pulang ke tanah air.Biasa nya dalam 2 bulan baru balik.Adakah solat saya boleh di jamak sepenuh nya sehingga saya kembali ke Malaysia?

Hamba Allah.

Admin said...

ada dua pendapat

Imam As Syafie menyatakan anda hanya layak untuk solat qasar selama 3 hari 3 malam, hari yang keempat kena solat penuh biasa.

pendapat sheikh Ibn Taimiyah anda boleh solat qasar selama anda bermusafir di sana asal tidak niat untuk menetap di situ.

jika ada kelapangan dan tidak uzur lebih baik solat penuh macam biasa....

Anonymous said...

salam
saya ada kekeliruan.katakan seseorang bermusafir dari sabah ke semnanjung samada urusan kerja atau bercuti selama lebih 2minggu.bolehkah dia berterusan jamak/jamak+qasar/qasar sehinggadia pulang ke sabah?

Sebagai contoh jika bercuit ke rumah ibu bapa di semenanjung selama 2 minggu,bagaimana hukum sebenar sebab dia tidak menetap secara tetap di rumah ibu bapa nya lagi dan tempat tinggal tetapnya dalam hal ini adalah sabah.

Apakah bezanya hal di atas dengan kes seorang pekerja di pelantar yang dibolehkan berterusan jamak+qasar selama di pelantar berdasarkan fatwa ibn taimiyyah, dan juga bezanya dengan post-post terdahulu.

Perlukan penerangan ustaz.
Salam

Abdul said...

Assalamulaikum,

Saya ingin bertanya. Saya telah pergi ke Paris bulan lepas. Pada waktu Itu zuhor pukul 1:15pm Dan asar 6:11 pm. Saya keluar untuk bersiar-siar sebelum masuk zuhor dan pulang ke hotel sebelum magrib. Magrib pukul 10pm. Selepas pulang ke hotel, saya pun melakukan jamak qasar zuhor dan asar. Soalan saya adalah betul tk perbuatan saya manjamak qasar kan solat saya itu?

Wassalam.
Abdul Hadi

Post a Comment