Dec 19, 2008

Jarak Masa Antara Jamak Taqdim Taakhir

Tuan, adakah masa antara 2 solat jamak Taqdim/taakhir. bolehkah ia dilakukan berselang dengan jarak masa yang lama atau pekerjaan lain atau wirid atau doa?.
Sila nyatakan tempoh dan dalilnya. Terimakasih.


wa'alaikumussalam.

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab soalan sallsabila dengan kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.

Didalam solat jama' (Jama' Taqdim sahaja bagi Mazhab Syafie) ia ditunaikan secara muwallat atau berturut2. Ia itu solat yang kedua ditunaikan segera setelah selesainya solat pertama. Didalam Mughni al-Muhtaaj ada menyebut bahawa solat kedua sebenarnya dimiliki oleh solat pertama, dan solat kedua adalah pengikut kepada solat pertama, maka solat rawatib/sunat diantaranya diitinggalkan.

(لأن الجمع يجعلهما كصلاة فوجب الولاء كركعات الصلاة، ولأنها تابعة والتابع لا يفصل عن متبوعة ولهذا تركت الرواتب بينهما،.).

Disini menunjukkan solat kedua hendaklah segera dilakukan sehinggakan solat sunat rawatib ditinggalkan. Menurut Dr Mustafa al-Bugha bahawa solat tersebut tidak boleh dipisahkan dengan zikir, solat2 sunat dan sebagainya. Sekiranya dipisahkan dengan waktu yang panjang (menurut ketentuan 'uruf / kebiasaan), maka solat jama' tersebut batal; maka solat wajib ditunaikan pada waktunya.

Dari Ibn Umar ra :

رأيت النبي صلى الله عليه وسلم إذا أعجله السير يؤخر المغرب فيصليها ثلاثا، ثم يسلم، ثم قلما يلبث حتى يقيم العشاء، فيصليها ركعتين، ثم يسلم.
"Aku telah melihat Nabi saw apabila baginda bermusafir dengan segera, baginda akan melewatkan solat Maghrib dengan melakukan 3 rakaat, kemudian memberi salam, kemudian baginda duduk sebentar dan berdiri melakukan solat Isya', baginda bersolat 2 rakaat, kemudian memberi salam" [Hadith Riwayat Bukhari #1041].

Duduk sebentar Nabi saw didalam hadith diatas ini menunjukkan jarak masa diantara 2 solat. Dr Wahbah Zuhaily (Professor Universiti Damsyik) juga menyebut bahawa jarak waktu pisahan solat itu juga termasuklah melakukan iqamah dan bersuci. Katanya :-

وإن فصل بينهما بفصل يسير، لم يضر، كالفصل بينهما بالأذان والإقامة والطهارة، لما في الصحيحين عن أسامة : أن النبي صلى الله عليه وسلم لما جمع بنمرة، أقام للصلاة بينهما. ويعرف طول الفصل بالعروف؛ لأنه لاضابط له في الشرع ولا في اللغة.

"Tetapi kalau dipisahkan oleh jarak yang sekejap maka tidak terbatal jama' seperti dipisahkan oleh azan, iqamah dan bersuci, berdasarkan hadith riwayat Usamah didalam Sahih Bukhari dan Muslim :-"Bahasa Nabi saw ketika melakukan solat jama' di Namirah, diiqamahkan solat diantara keduanya". Ukuran lama sekejap pisahan adalah menurut kebiasaan kerana tiada ketetapan syara' dan juga bahasa."

Kesimpulannya, didalam solat jama' (Jama' Taqdim sahaja bagi Mazhab Syafie), ia hendaklah ditunaikan secara muwallat (الموالاة); dimana Imam Nawawi didalam Matan Minhaj al-Thalibin menyebut 'waktu perpisahan itu tidak panjang' : (لا يطول بينهما فصل), iaitu sekadar duduk sebentar dan bangun menunaikan solat yang kedua. Jarak masa ini ketetapannya berdasarkan 'uruf atau kebiasaan. WA.

wassalam
========
Rujukan :

1. Syiekh Al-Syarbini. Mughni al-Muhtaaj - 1. Beirut : Daar al-Fikr, 2001. ms 372.

2. Dr Mustafa al-Bugha [et al]. al-Fiqh al-Manhaji - 1. cet ke 4. Damsyik : Daar al-Qalam, 2000. ms 190.

3. Dr Wahbah al-Zuhaily. al-Fiqh al-Islami wa adillatuh - 2. cet ke 3. Damsyik : Daar al-Fikr, 1989. ms 355-356.

0 comments:

Post a Comment