Feb 8, 2011

Dalil Solat Jamak dan Qasar

Postby talfiq »

Ada orang kata dia tak jumpa dalil jamak+qasar.

1- Adakah wujud dalil utk jamak taqdim/takhir dan Qasar sekali?

2- Bila yang boleh jamak sahaja tak boleh Qasar?

3- Bila yang boleh Qasar sahaja tak boleh jamak?

4- Bila yang boleh kedua-dua jamak dan Qasar serentak?

wassalam


*****************************************

Postby kamin »

wa'alaikussalam.

Kami akan cuba menjawab soalan anda dengan kadar kemampuan yang ada, InSyaAllah.

Soalan 1: Dalil solat Jama' & Qasar.

a. Dalil Jama' Taqdim

Riwayat dari Anas bahawa :

كان رسول الله صلى الله عليه وسلم إذا رحل قبل أن تزيغ- تميل ظهرا- الشمس، أخر الظهر إلى وقت العصر، ثم نزل يجمع بينهما، فإن زاغت قبل أن يرتحل صلى الظهر، ثم ركب.
"Sesungguhnya apabila Nabi :saw bermusafir sebelum gelincir matahari, beliau akan mengakhirkan / melewatkan waktu Zohor sehinggalah waktu Asar, kemudian beliau singgah disuatu tempat dan bersolat jama' kedua2 solat. Apabila baginda berangkat sebelum gelincir matahari, Nabi akan bersolat Zohor dan kemudian berangkat." [Hadith Bukhari dan Muslim].

كان النبي صلى الله عليه وسلم إذا أراد أن يجمع بين الصلاتين في السفر، أخر الظهر حتى يدخل أول وقت العصر، ثم يجمع بينهما
"Apabila Nabi :saw ingin menjama'kan dua solat semasa bermusafir, beliau akan mengakhirkan/melambatkan Zohor sehingga masuk waktu Asar, kemudian baginda menjama'kan keduanya" [Hadith Riwayat Muslim]

b. Dalil Solat Jama' Ta'khir

Dari Muaz bin Jabal ra. :

أن النبي صلى الله عليه وسلم كان في غزوة تبوك إذا ارتحل بعد المغرب عجل العشاء فصلاها مع المغرب
"Bahawa Nabi :saw ketika peperangan Tabuk, apabila bergerak selepas Maghrib disegerakan solat Isya', maka dilakukan solat Isya' dengan Maghrib" [Hadith Riwayat Ahmad, Abu Daud dan Tirmudzi].

c. Solat Qasar

Berkata Anas bin Malik ra. :

خرجنا مع النبي صلى الله عليه وسلم من المدينة إلى مكة فصلى ركعتين، ركعتين حتى رجعنا إلى المدينة
"Kami keluar bersama Nabi :saw dari Madinah ke Mekah, dan kami bersolat 2 rakat, 2 rakaat, sehinggalah kami kembali ke Madinah" [Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim].

d. Dalil mengenai Solat dilakukan secara Qasar dan Jama' sekali adalah ijtihad ulama'. Jumhur mengatakan boleh melakukan Jama' dan Qasar. Mereka ini merupakan ulama'-ulama' yang layak mentafsirkan hadith Nabi :saw dalam bentuk amalan Fiqh. Ini merupakan dalil yang kuat untuk dijadikan sandaran. Kesilapan kita dalam mempelajari hadith ialah mengamalkannya secara langsung (harfiyah) TANPA mengetahui bagaimana Imam-Imam ini melakukan pengambilan hukum dari hadith tersebut!

Berikut pandangan Syeikh Ibn Taimiyah rh :

"Mengenai solat Jama' dimana baginda melakukan solat jama' pada beberapa waktu ketika sibuk berjalan, dan uzur syarie. Sebagaimana beliau menjama'kan solat di Arafah dan Muzdalifah. Beliau juga ada kalanya menjama' solat pada perang Tabuk, apabila beliau keluar bermusafir sebelum gelincir matahari, beliau akan mengakhirkan solat sehingga waktu Asar lalu melakukan kedua-dua solat. Inilah sandaran yang sahih". [Majmu' Fataawa, 27/24].

Cuma persoalannya, dari segi afdhaliyat, solat mana yang harus dilakukan semasa bermusafir, Jama dan Qasar, atau Qasar sahaja? Berkata Syeikh Ibn Taimiyah rh :-

"Alhamdulillah, bahkan melakukan solat pada waktunya adalah lebih afdal, apabila tidak ada keperluan melakukan solat jama'. Pada kebanyakkan masa, Nabi :saw apabila bermusafir, baginda akan bersolat pada waktunya. Akan tetapi baginda pernah menjama'kan beberapa kali" [Majmu' Fataawa, 19/24].

Soalan 2 : Bila yang boleh jamak sahaja tak boleh Qasar?

Solat Qasar hanya boleh dilakukan ketika bermusafiran. Solat Jama' menurut Ibn Utsaimin lebih luas aplikasinya. Ia boleh dilakukan ketika hujan, sakit, dsb, termasuklah semasa bermusafir.

Soalan 3 : Bila yang boleh Qasar sahaja tak boleh jamak?

Bagi ulama' Hanafi, solat jama' hanya boleh dilakukan ketika ibadat Haji, iaitu ketika di Arafah dan di Muzdalifah. Selain dari itu, bagi mereka semasa bermusafir hanya dibenarkan melakukan solat secara Qasar sahaja.

Akan tetapi, jumhur ulama' membenarkan solat Jama' dan Qasar semasa bermusafir. Cuma dari segi afdhaliyat, jika seseorang itu tidak berada didalam keadaan kesukaran, eloklah bersolat secara Qasar sahaja semasa bermusafir, iaitu solat dilakukan pada waktunya.

Soalan 4 : Bila yang boleh kedua-dua jamak dan Qasar serentak?

Kedua-dua solat ini boleh dilakukan sekali ketika bermusafiran. Dan semasa berada ditempat bermusafiran, apabila terdapat beberapa kesukaran, maka diboleh melakukan solat Jama' dan Qasar sekali. WA.

Sekian, wasalam

5 comments:

Saufy Jauhary said...

salam.saya mahu bertanya, adakah ada dalil yang mengharamkan untuk mengqasarkan solat maghrib?

Anonymous said...

Salam.

Apabila baginda berangkat sebelum gelincir matahari, Nabi akan bersolat Zohor dan kemudian berangkat." [Hadith Bukhari dan Muslim].

Tuan, betul atau tak 'baginda berangkat sebelum gelincir matahari' kat atas tu? Ataupun sepatutnya setelah/selepas tergelincir matahari?

TQ

Anonymous said...

Ibadah itu ditanya dalil/nas yg dibuat oleh Nabi SAW bukan adakah dalil/nas yg mengharamkan...

Cikgu said...
This comment has been removed by the author.
Anonymous said...

Salam, di dalam mana2 dalil di atas tiada disebutkan tentang jarak sejauh 2 marhalah. Saya tinggal di Johor Bahru.Anak saya sesekali ke Singapura untuk lawatan dsb. Kerapkali perjalanan menjangkau waktu zuhur sehingga isya. Dengan kesukaran melaksanakan solat (tiada kemudahan air pili di tandas awam, musolla dsb) bolehkah beliau laksanakan solat jamak di sana?

Post a Comment