Dec 29, 2008

Solat Jamak Qasar Bermusafir

Saya sering bermusafir ke luar negara untuk seminar dan berbagai urusan. Saya difahamkan bahawa saya hanya boleh jamak dan qasar solat pada ketika perjalanan sahaja kerana biasanya saya menetap di sana dalam tempoh 10-12 hari.

Masalahnya, sudah menjadi kebiasaan saya bila berada diluar negara, akan dihambat kekangan masa untuk solat, terutamanya zohor dan asar bila musim sejuk memandangkan waktu siang yang pendek.

Kadang2 ianya hanyalah disebabkan keluar membeli belah ataupun sekadar jalan2 sahaja, bukannya semata2 keperluan menghadiri sidang seminar yang dikira lagi penting.

Tambahan pula musim sejuk di negara2 bukan islam, kesukarang untuk dapatkan air, tempat solat dan berbagai kesukaran.

Selalunya saya akan qadha' solat yang telah terlepas. Namun, saya mendapat pandagan dari seorang ustaz mengatakan bahawa saya dibenarkan jamak, samada taakhir atau taqdim tanpa mengqasarkannya dengan alasan kesukaran untuk solat, walaupun atas urusan berjalan2 di sana.

Ustaz tersebut memaklumkan bahawa ianya tertakluk kepada niat urusan pekerjaan samaada halal atau haram. kalau jalan, atau membeli belah bunag yang diharamkan, maka saya boleh menjamakkan solat tanpa qasar, walaupun waktu menginap dinegara tersebut melebihi 3 hari.

Mohon pandagan dari ustaz.

**********************
Solat jamak dan qasar adalah rukhsah pemberian Allah untuk musafir. Pendapat yang lebih kuat ialah ia untuk musafir yang tidak bertujuan maksiat. Namun bagi isu penetapan tempoh yang dibolehkan solat jamak dan qasar bagi musafir sebenarnya tiada dalil sahih lagi jelas berhubungnya. Justeru itu para ulama berbeza pandangan tentangnya. Antaranya:

i- Barangsiapa yang berniat untuk tinggal lebih dari empat hari, maka terhenti hukum musafir baginya. Oleh itu dia mestilah solat tanpa jamak mahupun qasar. Ini qaul Hanbali.

ii- Barangsiapa yang berniat menetap selama empat hari, dia tidak boleh jamak mahupun qasar. Ini qaul Maliki dan as-Syafi’ie.

iii- Barangsiapa yang berniat untuk tinggal lebih dari lima belas hari, tidak boleh jamak qasar. Ini qaul Hanafi.

iv- Syeikhul Islam Ibn Taymiyyah berpendapat, jika seorang itu tidak berniat untuk bermastautin atau bermukim, baginya hukum musafir. Justeru itu, dia masih boleh solat jamak dan qasar.

Saudara boleh memilih salah satu daripada pendapat tersebut dan saudara sendiri lebih memahami kesukaran yang dialami. Secara umumnya para ulama ini tidak mengira hari masuk ke satu-satu tempat dan hari keluar daripadanya. Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, saudara boleh jamak dan qasar pada hari sampai ke destinasi dan hari keluar darinya. Adapun dalam tempoh berada di sana ia bergantung kepada pendapat mana yang saudara pilih. Pilihan itu pula mestilah diasaskan atas dasar taqwa kepada Allah, bukan untuk berwenang-wenang atau bermalas-malas.

Namun pilihan yang telah saudara buat iaitu meninggalkan solat dan mengqadha’nya bila lapang adalah pilihan yang sama sekali tidak tepat. Saudara perlu bertaubat nasuha atas pilihan yang salah itu, mudah-mudahan diampunkan Allah.

Wallahu a’lam.
_________________
Ustaz Rasyid bin Idris, IQ

0 comments:

Post a Comment