Dec 9, 2008

Solat Qasar Tanpa Jamak

saye tinggal di n9.. saye pegi kl naik bas pukul 3..sudah tentu saya menunaikan solat zohor sebelum tue dirumah dgn cara tamam. persoalannya bile saye samapi di kl lebih kurang pukul lima..bolehkah saye qasarkan solat asar saye krn biasenye saye tgk org buat qasar dgn jama' tp dlm hal saye saye hanye mahu qasarkan solat asar krn saye mmg dah solat zohor sebelum bermusafir

==================

wa'alaikumussalam

Alhamdulillah. Kami akan cuba menjawab persoalan sdr mujahid dengan kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.

Solat Qasar ialah solat empat rakaat seperti Zohor, Asar dan Isyak ditunaikan secara 2 rakaat sebagai ganti 4 rakaat. Dalilnya :-

وَإِذَا ضَرَبْتُمْ فِي الْأَرْضِ فَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ أَنْ تَقْصُرُوا مِنَ الصَّلَاةِ إِنْ خِفْتُمْ أَنْ يَفْتِنَكُمُ الَّذِينَ كَفَرُوا إِنَّ الْكَافِرِينَ كَانُوا لَكُمْ عَدُوًّا مُبِينًا
"Dan apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. Sesungguhnya orang-orang kafir itu adalah musuh yang amat nyata bagi kamu." - [Surah Al-Nisa':101].

Dalil dari Hadith nabi pula :-Nabi saw bersabda :

صَلاةُ السَّفَرِ رَكْعَتَانِ
"Solat semasa musafir adalah 2 rakaat" -[Hadith diriwayatkan oleh Al-Nasaa'i #1420, dikelaskan sebagai sahih oleh al-Albani didalam sahih al-Nasaa'i].

Sabda Nabi saw didalam hadith yang lain :-

إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ وَضَعَ عَنْ الْمُسَافِرِ شَطْرَ الصَّلاةِ
"Sesungguhnya Allah telah membuang separuh solat bagi orang musafir" - [Hadith diriwayat oleh Al-Nasaa'i #2275, dikelaskan sebagai Hasan oleh al-albani didalam sahih al-Nasaa'i].

Apabila sudah cukup syarat, iaitu diantaranya ialah perjalanan mencecah atau melebihi 89km dan waktu musafir tidak melebihi 4 hari, secara umumnya Solat boleh di Jama' dan di Qasarkan. Lazimnya masyarakat didedahkan dengan kaedah Solat Qasar yang mesti dibuat secara Jama'. Akan tetapi kedua-dua kaedah ini boleh dilakukan secara bersama dan secara berasingan. MengQasarkan solat Asar semasa musafir adalah dibenarkan, malah ia merupakan pilihan yang baik. Ulama' dari Al-Lajnah Al-Daa'imah Arab Saudi mengatakan :

يجوز له الجمع بدون قصر والقصر بدون جمع، والقصر في حقه أفضل من الإتمام؛
"dibolehkan untuknya melakukan jama' tanpa qasar dan qasar tanpa jama', dan qasar merupakan haknya, lebih afdal dari solat al-tamam (penuh, iaitu 4 rakaat)! " (Al-Lajnah Al-Daa'imah , Fatno:584, 8/97).

Kenapa dikatakan pemilihan solat Qasar merupakan pilihan terbaik?

a. Jumhur ulama membenarkan melakukan Solat Jama' Takdim dan Jama' Takhir kecuali Mazhab Hanafi. Didalam Mazhab Hanafi dibolehkan Jama' hanya pada hari Arafah bagi orang-orang yang ihram haji, iaitu menjama'kan solat Zohor dan Asar didalam waktu Zohor. Hujah mereka ialah waktu Solat telah thabit secara mutawatir (didalam hadith bertaraf mutawatir) maka tidak boleh digantikan dengan hadith ahad (Al-Fiqh Al-Islami, 2/349-350). Sheikh Al-Islam Ibn Taimiyah menyatakan bahawa adalah lebih baik ditunaikan setiap solat pada waktunya, jika benar-benar tidak ada hajat untuk melakukan jama'. Kerana menurut beliau, Nabi saw sentiasa melakukan solat Qasar pada masa musafir apabila masuk waktu solat tersebut (Majmu' Fatawa, 24/19).

b. Diriwayatkan bahawa Nabi saw tidaklah berterusan melakukan jama' semasa musafir akan tetapi berterusan melakukan qasar, maka menurut Dr Wahbah Al-Zuhaily disebabkan khilaf ulama' mengenainya, adalah afdal tidak melakukan Solat Jama' (Al-Fikh Al-Islami, 2/350).

Kesimpulannya, solat Qasar boleh dilakukan tanpa menjama'kan solat, dilakukan oleh seseorang yang mempunyai status musafir apabila masuk waktu solat tersebut (pada waktunya) keatas solat yang mempunyai 4 rakaat. Kebiasaan yang dilakukan oleh orang ramai iaitu melakukan Solat Jama' dan Qasar juga merupakan sunnah Nabi saw bagi memberi kemudahan kepada umatnya. Ada dikalangan ulama' yang lebih menyukai solat pada waktu yang ditetapkan, maka mereka melakukan solat Qasar tanpa Jama apabila masuk waktu solat tersebut. WA.

wassalam
=========
Rujukan :

1. Dr Mustafa Al-Bugho [dll]. Al-Fiqh Al-Manhaji 'ala Mazhab Al-Imam Al-Syafie - I. cetakan ke 4. Damsyik : Dar Al-Qalam, 2000. ms 186

2. Al-Lajnah al-Daa'imah Al-Buhooth al-'Ilmiyyah wa Al-Ifta' - 8. Cetakan ke 3. Riyad : Dar Al-Mu'ayyad, 2000. ms 97.

3. Dr Wahab Al-Zuhaily. Al-Fiqh Al-Islami wa adillatuhu - 2. cetakan ke 3. Beirut : Dar Al-Fikr, 1998. ms 329.

4. Mohammad bin Abdul Rahman Qasim. Majmu' Fatawa Shiekh Al-Islam Ibnu Taimiyah - 24. Mekah : Percetakan Al-Hukumah, 1969. ms 19.

0 comments:

Post a Comment