Dec 9, 2008

Jamak @ Makmum

Bolehkah begini...

Kita dalam musafir.
Kita solat jemaah fardhu Maghrib mengikut imam tapi tak niat nak jamak dengan Isya'.
Selepas habis jemaah maghrib tu, kita sambung pula buat Isya' yang dijamak dengan Maghrib tadi.
OK ke?

Ataupun kita mesti niat nak jamak semasa niat solat Maghrib lagi?

=================

Assalamu'alaikum

Kami cuba menjawab soalan gerawayu dengan kadar kemampuan yang ada, Insyaallah.

Solat Jama' yang anda maksudkan ialah Solat Jama' Taqdim, ditunaikan solat yang pertama (didalam waktunya) diikuti dengan solat yang kedua; seperti menunai Maghrib dan dikuti Solat Isya', atau menunaikan solat Zohor dan diikuti solat Asar. Syarat yang ditetapkan oleh Mazhab Syafie ialah hendaklah dia" berniat Jama' untuk menunaikan solat kedua sebelum selesai solat yang pertama, akan tetapi lebih baik dilakukan niat pada Takbir al-Ihram dengannya" [al-Fiqh al-Manhaji 1/190].

Akan tetapi, ulama' khilaf didalam menetapkan sama ada niat merupakan syarat didalam solat jama'. Kami paparkan senario yang sama yang telah dijawab oleh Syeikh Abdul Aziz bin Baz rh, bekas mufti Arab Saudi.

السؤال:
هل النية شرط لجواز الجمع ؟ فكثيراً ما يصلون المغرب بدون نية الجمع وبعد صلاة المغرب يتشاور الجماعة فيرون الجمع ثم يصلون العشاء ؟.
الجواب:
اختلف العلماء ، والراجح أن النية ليست بشرط عند افتتاح الصلاة الأولى ، بل يجوز الجمع بعد الفراغ من الأولى إذا وجد شرطه من خوف أو مطر أو مرض .
Soalan : "Apakah niat menjadi syarat membolehkan menjama' solat? Biasa mereka bersolat Maghrib tanpa mempunyai Niat menjama'kan solat, kemudian setelah selesai Maghrib, mereka merujuk diantara satu sama lain dan mengambil keputusan melakukan Jama', lalu mereka bersolat Isya'."

Jawapan : "Perkara ini menjadi khilaf dikalangan ulama' , akan tetapi pendapat yang terbaik adalah niat bukan menjadi syarat kepada menjama' solat, malah dibenarkan menjama' solat setelah selesai solat pertama, jika wujud syarat (iaitu kondisi yang membolehkan seseorang itu melakukan jama'), seperti takut, hujan atau sakit." - [Majmu' Fataawa bin Baaz, 4/473, Majmu' Fataawa wa Maqaalaat Mutanawwi’ah 12/294].

Kesimpulannya, Niat pada Solat Jama' (Taqdim) diperselisihkan ulama' samada menjadi syarat sah solat jama' atau tidak. Bagi Mazhab Syafie, anda hendaklah memasang niat pada solat pertama (iaitu Maghrib) sebelum selesai memberi salam, dan meneruskan solat Isya'. Bagi yang memegang pandangan Syiekh Ibn Baz, tidak perlu berniat jama' kerana ia bukan merupakan syarat sah solat Jama'. WA.

wassalam
===========
Rujukan :

1. Dr Mustafa al-Khin [et al]. al-Fiqh al-Manhaji : 'ala Mazhab al-Imam al-Syafie - 1. cetakan ke 4. Damsyik : Dar al-Qalam, 2000. ms 190

2. Prof. Dr Abdullah bin Muhammad al-Thayyaar [penyusun]. Majmu' Fataawa Samaahat al-Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baaz - 4. Riyad : Dar al-Watan, [tt]. ms 473.

0 comments:

Post a Comment